Kerajaan Perlu Jelas Rasional Kenaikan Harga Minyak


SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Ismail mendesak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tampil menjelaskan rasional kenaikan harga minyak mentah hari ini.

Menurutnya, kenaikan harga bahan bakar bagi bulan Februari ini adalah tidak munasabah dan meminta agar Najib segera tampil memberikan penjelasan.

“Dua faktor utama yang menjurus kepada kenaikan harga bahan bakar iaitu perubahan harga minyak dunia dan perubahan nilai matawang Ringgit Malaysia (RM) berbanding US Dolar (USD) tidak menunjukkan perubahan yang ketara. 

“Oleh itu, mengapa rakyat yang harus memikul beban kenaikan harga petrol dan diesel sedangkan tidak wujud sama sekali faktor-faktor yang menjurus kepada sebarang kenaikan?” katanya dalam satu kenyataan media.

Berkuatkuasa hari ini, harga runcit Petrol RON95 dan RON97 naik sebanyak 20 sen manakala harga runcit diesel meningkat sebanyak 20 sen.

Sebelum ini, pada 1 Januari lalu, harga runcit petrol RON95 dan Diesel naik sebanyak 20 sen manakala harga runcit petrol RON97 naik sebanyak 15 sen.

Jelasnya lagi, data-data yang diterima dari sumber sahih menunjukkan tiada sebab kukuh untuk harga minyak mentah ini naik.

“Berdasarkan pasaran sehingga jam 4 petang tadi, data menunjukkan purata harga minyak mentah Brent sepanjang Januari 2017 mencatatkan purata penurunan bulanan sebanyak 2.46%.

“Sementara itu,  data dari laman rasmi Bank Negara Malaysia sehingga jam 5 petang tadi, nilai RM berbanding USD menunjukkan purata perubahan sebanyak negatif 1.40%,”katanya lagi.

Tambahnya lagi, beliau juga menggesa agar pihak Kerajaan pertimbang semula subsidi minyak dan GST.

“Pada masa yang sama juga, saya mengharapkan agar pihak Kerajaan mempertimbangkan semula subsidi minyak serta mengurangkan kadar GST demi meringankan beban yang dipikul rakyat ketika ekonomi suram ini,” katanya.
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==